COVID-19: Empat lagi kematian, 179 kes baharu dicatat



PUTRAJAYA : Malaysia mencatatkan pertambahan empat lagi kematian berkaitan COVID-19, menjadikan jumlah kumulatif  sebanyak 61 kes kematian.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, menjelaskan, setakat hari ini, 179 kes baharu COVID-19 dilaporkan dengan 90 kes pulih dan dibenarkan keluar hospital.

“Sehingga 5 April 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 179 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 3,662 kes. Daripada 179 kes ini, 46 adalah berkaitan dengan perhimpunan Seri Petaling.

“Sehingga kini, seramai 99 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 48 kes memerlukan bantuan pernafasan. Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan empat lagi kes kematian berkaitan COVID-19.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 61 kes,” katanya dalam sidang media di sini pada Ahad.

Kes kematian ke-58 (kes ke-2210) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 72 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi.

Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif COVID-19 (kes ke-1031). Beliau telah dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 27 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 4 April 2020 jam 1.37 tengah hari.

Kes kematian ke-59 (kes ke-3484) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 68 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis. Beliau telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 27 Mac 2020. Beliau disahkan meninggal dunia pada 4 April 2020 jam 3.40 petang.

Kes kematian ke-60 (kes ke-3073) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 53 tahun. Beliau telah dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 31 Mac 2020. Beliau disahkan meninggal dunia pada 5 April 2020 jam 12.39 pagi.

Kes kematian ke-61 (kes ke-2200) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 66 tahun dan mempunyai latar belakang kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang. Beliau telah dirawat di Hospital Keningau, Sabah pada 26 Mac 2020. Beliau disahkan meninggal dunia pada 4 April 2020 jam 9.36 malam.





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *