Internet berkelajuan tinggi 1GB percuma mulai 1 April ini



KUALA LUMPUR : Pelanggan pascabayar dan prabayar beberapa syarikat telekomunikasi negara akan menikmati internet berkelajuan tinggi secara percuma, mulai 1 April ini sehingga pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

Ia bakal meliputi kuota satu gigabait (GB) setiap hari sepanjang tempoh berkenaan.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan menjelaskan pemberian kuota secara percuma itu adalah bagi pelanggan syarikat telekomunikasi Celcom, Digi, Maxis serta U Mobile, dan untuk digunakan antara jam 8 pagi hingga jam 6 petang.

“Panggilan percuma juga diberikan kepada pelanggan untuk menghubungi talian hotline Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), Pusat Pengurusan Operasi Negara dan Jabatan Kesihatan Negeri,” menurut kenyataan tersebut pada Jumaat.

Beberapa pakej khas akan ditawarkan dengan kerjasama syarikat-syarikat telekomunikasi, termasuk usaha-usaha menambah baik rangkaian telekomunikasi, yang secara kolektifnya bernilai RM1 bilion yang turut diumumkan oleh Perdana Menteri menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN).

Selain itu, tambahan RM400 juta dilaburkan syarikat telekomunikasi sehingga suku kedua tahun ini untuk meningkatkan liputan dan keupayaan rangkaian bagi mengekalkan ketersediaan dan kualiti rangkaian telekomunikasi yang tinggi dan mampan.

Dalam masa yang sama, Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) akan terus dilaksanakan untuk menambah baik kesalinghubungan digital negara, terutamanya di kawasan luar bandar.

Sementara itu badan penyiaran negara swasta seperti Astro juga memainkan peranan mereka untuk masyarakat ketika tempoh PKP dilaksanakan.

Antaranya termasuklah menawarkan akses tontonan secara percuma meliputi 14 saluran filem dan 11 saluran berita percuma.

Ia juga termasuk semua saluran percuma untuk pelanggan pakej sukan, 22 saluran percuma menerusi aplikasi Astro-On-The-Go dan saluran KIX, Nat GEO WILD, Celestial Movies dan Cartoon Network untuk pelanggan NJOI selain pelanggan Astro dibenarkan untuk menggantung perkhidmatan tanpa sebarang caj.





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *