Jangan dedahkan staf kesihatan kepada risiko jangkitan COVID-19 – Dr Noor Azmi



BAGAN SERAI: Orang ramai dinasihatkan supaya bertindak jujur dengan staf kesihatan yang melakukan saringan kesihatan COVID-19 terhadap mereka.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, mereka tidak harus menyembunyikan maklumat sekiranya mempunyai kontak rapat dengan kes positif, mempunyai simptom atau mempunyai sejarah perjalanan ke negara-negara terlibat.

“Jangan dedahkan mereka kepada risiko jangkitan terutamanya kepada keluarga terdekat dengan tindakan tidak jujur yang membahayakan orang ramai,” katanya selepas melawat Hospital Taiping dan Hospital Parit Buntar di sini, pada Jumaat.

Lawatan itu antara lain untuk meneliti kebajikan barisan hadapan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia di samping memahami cabaran yang dihadapi bagi barisan hadapan dalam menghadapi wabak COVID-19.

Ia juga bagi menambah baik keperluan fasiliti dan keperluan lain di hospital di lapangan.

Dr Noor Azmi mengingatkan orang ramai agar mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan dengan duduk di rumah, mengamalkan penjarakan sosial apabila terpaksa berada di kawasan lapang di samping menjaga kebersihan diri.

Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat, khususnya KKM yang telah bertungkus lumus berpenat dalam memelihara kesejahteraan rakyat Malaysia dalam menghadapi wabak COVID-19.

“Tidak dilupakan keseluruhan rakyat Malaysia yang terus bersabar dan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan.

“Kesejahteraan rakyat Malaysia adalah tanggungjawab bersama dan dengan kerjasama keseluruh rakyat Malaysia, kita dapat mengekang penularan wabak COVID-19 ini,” ujarnya.





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *