Patuhilah perintah kawalan pergerakan (PKP) | Opinion


30 MAC — Perintah Kawalan Pergerakan atau PKP kini memasuki hari ke-12, hari ini. PKP yang mula berkuat kuasa semenjak 18 Mac 2020 lalu kini telah dilanjutkan sehingga 14 April depan.

Keputusan Kerajaan untuk melanjutkan PKP dibuat memandangkan jumlah penduduk yang dijangkiti Covid-19 menunjukkan peningkatan yang berterusan. Malah, perangkaan daripada pihak berkuasa menunjukkan trend meningkat dengan bilangan kes baharu yang dilaporkan saban hari mencecah ratusan kes.

Sudah pasti, tindakan berkenaan memberi sedikit kesukaran kepada para penduduk untuk bergerak dan berulang-alik dari satu tempat ke tempat yang lain. Kalangan peniaga, penjaja dan pusat membeli-belah kini berhadapan dengan situasi tidak menentu apabila kedai-kedai serta gerai mereka terpaksa ditutup untuk suatu tempoh yang lama.

Apapun, Kerajaan telah mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat atau ringkasnya, PRIHATIN pada 27 Mac 2020 lalu bertujuan untuk meringankan beban rakyat yang terkesan akibat wabak Covid-19 yang berterusan.

Bagaimanapun, berdasarkan kepada laporan-laporan media, masih ada segelintir individu yang degil dan masih keluar dari rumah bukan untuk membeli barangan tetapi untuk aktiviti-aktiviti lain. Pelbagai arahan dan nasihat telah pun diberikan kepada mereka namun arahan tidak diendahkan.

Kumpulan minoriti ini nampaknya memandang rendah akan bahaya Covid-19. Mereka percaya bahawa dirinya tidak akan dijangkiti virus itu walhal sudah lebih 685,000 orang yang telah dijangkiti di seluruh dunia manakala yang meninggal dunia lebih 32,000 orang.

Tindakan Kerajaan untuk melanjutkan PKP bukanlah untuk menyusahkan rakyat. Aspek ini perlu difahami kerana matlamat utama sekarang ialah untuk mematahkan rantaian jangkitan tersebut. Apa gunanya untuk menyekat pergerakan rakyat dan apa guna jika semua aktiviti ekonomi seharian dihentikan memandangkan langkah berkenaan akan merugikan ekonomi negara?

Covid-19 bukanlah calang-calang wabak biasa yang boleh dipandang enteng. Ia amat berbahaya dan sekiranya langkah berjaga-jaga tidak diambil maka berkemungkinan lebih ramai lagi yang akan dijangkiti.

Tidak dinafikan ini merupakan tempoh yang sukar untuk kita semua namun percaya dan yakinlah bahawa wabak Covid-19 akan berlalu pergi tidak lama lagi.

Akan tetapi, untuk merealisasikan perkara itu, semua rakyat di negara ini haruslah memainkan peranan dan membantu Kerajaan dengan tidak keluar dari rumah dan hanya berbuat demikian untuk mendapatkan barang keperluan sahaja.

Patuhilah arahan dengan sebaik mungkin dan memberikan kerjasama kepada pihak polis dan tentera yang sedang menguatkuasakan PKP. Janganlah sesekali menyusahkan tugas mereka.

Seperti kata Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah:

“Jika rakyat Malaysia masih terus bersikap ‘tidak kisah’, Malaysia mungkin akan menghadapi gelombang ketiga virus tersebut yang lebih besar daripada tsunami.

“Bantulah KKM dengan memainkan peranan anda, kerana setiap individu bertanggungjawab untuk mengambil segala langkah berjaga-jaga demi keselamatan diri dan keluarga.

“Kegagalan bukan pilihan di sini. Jika tidak, kita mungkin menghadapi gelombang ketiga virus ini yang seterusnya akan menjadi lebih besar seperti tsunami lebih-lebih jika kita mempunyai sikap ‘tidak kisah’.”

Renung-renungkanlah!

*Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *