Pematuhan PKP di Pulau Pinang capai 98.9%



GEORGE TOWN: Tahap pematuhan masyarakat terhadap penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Pulau Pinang telah mencapai 98.9 peratus, kata anggota Exco Negeri, Jagdeep Singh Deo hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa Negeri itu berkata, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) masing-masing melaporkan tahap pematuhan PKP sebanyak 98.9 peratus dan 98.85 peratus, semalam.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada masyarakat atas kerjasama penuh mereka semasa tempoh PKP. Saya berharap Pulau Pinang akan mencapai pematuhan penuh PKP dan mengelak sebarang potensi jangkitan kes COVID-19,” katanya menerusi telesidang, di sini hari ini.

Sementara itu, beliau turut mengumumkan bahawa insentif di bawah Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang berjumlah RM75 juta diagihkan dengan sejumlah RM6.98 juta diperuntukan sebagai bantuan RM500 sekali bayar kepada 13,967 peniaga kecil dan penjaja berlesen.

“Hari ini, MBPP akan membuat bayaran kepada 4,158 orang penjaja dan peniaga kecil manakala selebihnya iaitu 2,799 orang sebelum 15 April. MBSP juga akan mula membuat bayaran bantuan kepada 791 orang pada hari ini manakala baki 6,219 penjaja dan peniaga kecil akan menerima secara berperingkat,” katanya.

Jagdeep juga berkata peruntukan sejumlah RM1.497 juta disediakan untuk 4,991 petugas barisan hadapan dari MBPP dan MBSP dalam bentuk RM300 sekali bayar serta tambahan RM1.945 juta dalam bentuk peralatan keselamatan untuk kedua-dua pihak berkuasa tempatan itu.

Katanya, MBSP dibekalkan dengan 6,000 penutup mulut dan hidung, 530 botol cecair pembasmi kuman dan 35 unit termometer, manakala MBSP diberikan 9,000 penutup mulut dan hidung, 500 botol cecair pembasmi kuman dan 35 unit termometer. – BERNAMA





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *