Pengecualian bayaran sewaan selama enam bulan babit kos RM20 juta



KUALA LUMPUR: Pengecualian bayaran sewa bulanan selama enam bulan bermula Mac lepas bagi kantin, kafeteria, kedai serbaneka dan lain-lain yang beroperasi di bangunan persekutuan, melibatkan anggaran kos RM20 juta.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, jumlah itu tidak termasuk sewa 220 buah taska, di tempat kerja sektor awam seluruh negara sebanyak RM5.28 juta.

“Kementerian dan agensi penyewa premis milik Kerajaan Persekutuan seperti kantin sekolah, taska, kafeteria, kedai serbaneka dan lain-lain yang beroperasi, hendaklah berunding dengan operator masing-masing bagi melaksanakan keputusan ini.

“Inisiatif ini akan meringankan beban yang ditanggung pengendali premis, yang terkesan akibat ketidakmampuan untuk meneruskan perniagaan, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, berikutan penularan wabak COVID-19,” katanya menerusi catatan di Facebook rasminya, di sini, pada Ahad.

Beliau berkata, penyewaan ruang bangunan Kerajaan Persekutuan adalah di bawah bidang kuasa Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP), dan di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.

Pada 27 Mac lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sewaktu mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) berkata, premis milik Kerajaan Persekutuan seperti kantin sekolah, taska, kafeteria dan kedai serbaneka, diberi pengecualian sewaan selama enam bulan.

Muhyiddin berkata ia termasuk semua premis milik agensi dan badan berkanun Kerajaan Persekutuan.

— BERNAMA





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *