Polis arah penduduk Petaling Jaya tangguh perhimpunan, perjumpaan



KUALA LUMPUR: Polis mengarahkan penduduk Petaling Jaya untuk menangguhkan semua perhimpunan dan perjumpaan penduduk berikutan kebimbangan penularan COVID-19 di daerah tersebut.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, sekiranya mendesak, perjumpaan penduduk boleh diadakan namun secara individu atau kumpulan yang kecil.

“Polis turut menasihatkan orang ramai agar menggunakan topeng muka di tempat awam dan menjaga amalan kebersihan diri seperti cuci tangan dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini, Brunei mengesahkan seorang pesakit COVID-19 di negara itu menghadiri ijtima tabligh antarabangsa di Masjid Sri Petaling pada 27 Februari hingga 1 Mac.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menganggarkan jumlah peserta tabligh di Masjid itu adalah seramai 16,000 orang.

BACA: COVID-19: Itali catat rekod 250 kematian dalam 24 jam

Mengulas lanjut, Nik Ezanee berkata, satu mesyuarat koordinasi disertai beberapa agensi dan penguatkuasa daerah Petaling Jaya akan diadakan pada Selasa minggu hadapan.

“Mesyuarat itu akan disertai polis, bomba, Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) dan Jabatan Kesihatan Petaling Jaya untuk menghadapi COVID-19.

“Pihak polis sedang membantu Jabatan Kesihatan Petaling Jaya untuk mengesan individu yang disyaki mangsa virus tersebut,” jelasnya.

Pada Jumaat, KKM mengesahkan terdapat 39 pertambahan kes baharu COVID-19 yang mana 34 daripada kes baharu ini dikaitkan dengan perhimpunan tabligh tersebut.

Seramai 40 daripada sekitar 14,500 rakyat Malaysia yang menghadiri program itu kini dijangkiti COVID-19.





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *