Warga emas direman bantu siasatan kes wanita ditemui mati berselimut



SUNGAI PETANI: Seorang lelaki direman 7 hari bermula hari ini sehingga 4 April bagi membantu siasatan pembunuhan seorang wanita warga asing yang ditemui mati dalam keadaan berselimut di Taman Sejahtera, Bakar Arang dekat Sungai Petani, Kedah.

Suspek berusia 57 tahun itu ditahan di Kampung Pulau Sayak, Kota Kuala Muda pada jam 2.30 petang Sabtu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu, suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda untuk siasatan lanjut.

Mangsa Ngo Thi Quyen, 46, warga Vietnam ditemui mati dalam bilik di rumahnya kira-kira jam 12.40 tengah hari 27 Mac lalu.

Kejadian disedari oleh rakan serumah mangsa selepas mendapati mangsa tidak keluar dari dalam biliknya seharian.

Sebaik membuka pintu rakan mangsa terkejut melihat mangsa sudah kaku lalu bertindak memanggil pengurusan kilang tempat mangsa bekerja.

Adzli berkata, siasatan mendapati mayat mangsa dalam keadaan terlentang dan berselimut di atas tilam serta mayat dalam keadaan berbau.


Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kesan luka di dahi sebelah kiri dan kanan selain terdapat kesan darah di muka mangsa.

Bagaimanapun katanya, tiada kesan pergelutan ditemui di dalam bilik dan di dalam rumah terbabit.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan keranan membunuh.





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *